Mohamed Salah mengatakan bahawa kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Everton dalam pertembungan derby Merseyside awal pagi tadi menunjukkan kebangkitan semula buat skuad Reds.
Salah menyumbang gol buat kali pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Krismas ketika skuad kendalian Jurgen Klopp menamatkan empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan.
👑 @MoSalah 👑 pic.twitter.com/ziW4yl3o0V
— Liverpool FC USA (@LFCUSA) February 13, 2023
Cody Gakpo dalam masa yang sama berjaya menjaringkan gol pertamanya buat Liverpool pada babak kedua.
Malam yang positif buat Liverpool dilengkapkan dengan kembalinya Diogo Jota dan Roberto Firmino daripada kecederaan manakala Virgil van Dij berada di bangku simpanan selepas diketepikan dalam masa yang lama.
“Ia kemenangan besar buat kami,” kata Salah. “Kami mempunyai minggu yang sempurna untuk berlatih dan pemain teruja serta tidak sabar untuk mengubah keadaan. Saya harap ia adalah satu permulaan.”
Liverpool masih ketinggalan sembilan mata daripada empat kedudukan teratas dan berada di kedudukan kesembilan.
Namun jurang dengan pasukan keempat, Newcastle boleh dikurangkan kepada enam mata apabila mereka akan berkunjung ke St. James’ Park pada hujung minggu hadapan.
Pertembungan itu hadir hanya beberapa hari sebelum kunjungan Real Madrid ke Anfield dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara dan Klopp berharap dia akan dapat menemui penyelesaian terhadap sebahagian masalah skuadnya untuk sekali lagi berdepan juara Eropah yang dua kali mengecewakan mereka di final.
“Malam ini kami ada di sana dan ia adalah petanda buat kami apa yang perlu dilakukan,” kata Klopp.
“Persembahan untuk keseluruhan 96 minit adalah yang terbaik ketika ini.”
Rasa optimis Liverpool diserlahkan ketika menentang Everton yang hanya menang sekali daripada 12 aksi.
Kemenangan pertama itu hadir hujung minggu lalu pada perlawanan pertama Sean Dyche bersama kelab itu selepas menewaskan pendahulu liga, Arsenal 1-0 di Goodison Park.
Namun Dyche diberikan kefahaman lebih baik mengenai masalah yang dihadapinya apabila mewarisi skuad Toffees yang berada di zon penyingkiran.
Bagi pemain Belanda, Gakpo, pertembungan derby itu adalah titik perubahan selepas permulaan sukar dihadapinya dalam EPL berkaitan perpindahan daripada PSV Eindhoven Januari lalu.
“Ia perlawanan yang hebat daripada kami,” kata Gakpo. “Kami amat perlukan kemenangan ini.”