Dean Henderson baru sahaja membuat komen yang boleh dianggap kontroversi mengenai masa sukarnya di Manchester United. Melihat kepada kenyataan terbarunya ini, nampaknya sukar untuk melihat Henderson kembali semula ke Old Trafford.
https://twitter.com/SkySportsPL/status/1554761239380692992?s=20&t=7hL-u66t4eKLPiHdwKIhNw
Henderson baru sahaja menyelesaikan perpindahan dari United ke Nottingham Forest secara pinjaman dan pada masa yang sama akan berpeluang untuk bermain secara tetap di kelab barunya.
Perpindahan ini amat penting buat penjaga gol berusia 25 tahun itu. Musim lalu, Henderson hanya membuat lima penampilan untuk United dalam semua pertandingan.
Jelas sekali kekurangan peluang bermain benar-benar membuatkan Henderson kecewa.
Henderson berkata dia kecewa kerana Manchester United telah memungkiri janji mereka. Dia sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan pasukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi United menjanjikan lebih banyak minit untuk bermain yang membuatkan dia memilih untuk kekal.
“Saya menolak banyak tawaran pinjaman yang bagus pada tahun lalu. Ini kerana saya dijanjikan untuk menjadi penjaga gol pilihan utama United dan mereka tidak melepaskan saya,” kata Henderson.
“Keadaan itu benar-benar mengecewakan saya. Saya menghabiskan 12 bulan kerjaya saya dengan sia-sia, dan bagi saya ia adalah satu perbuatan jenayah,” keluhnya.
Keadaan Henderson turut disedari oleh penganalisis Liga Perdana, Jamie O’Hara. Menurutnya, jelas kritikan Henderson akan mengejutkan banyak pihak terutama peminat MU.
“Saya tidak fikir dia akan bermain untuk United lagi, begitulah keadaan sekarang. Apabila anda melakukan kenyataan seperti itu anda telah memburukkan kelab induk anda, sudah tentu itu akan menjadi masalah,” kata O’Hara kepada talkSPORT.
“Ada pengurus baharu di sana, jadi mungkin sudah tiba masanya Henderson berpindah. Mungkin dia mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana dia sudah lama ingin berpindah.”
O’Hara tidak bermaksud untuk meragui kualiti Henderson. Bagaimanapun, penjaga gol berusia 25 tahun itu sudah membuktikan kualitinya sebagai antara yang terbaik. Masalahnya, komen Henderson mungkin menjadi permulaan kepada masalah besar.
“Dia penjaga gol terbaik. Dia mungkin terlalu bagus untuk duduk di bangku simpanan, tetapi kita bercakap tentang United. Anda tidak boleh memburukkan kelab induk anda,” sambung O’Hara.
“Sejujurnya, Henderson akan terus merosot di United. Kadang-kadang pemain berkata banyak pada situasi panas apabila mereka marah,” katanya mengakhiri perbualan.